DARI MATA SANG SEMUT...

Melihat ciptaan Allah lalu disimpan di kotak memori hanya untuk kita seorang. Bagaimana cara untuk berkongsi bersama apa yang kita lihat dan alami...

Dengan rendah hati, ingin dikongsikan kepada semua .. dari pandangan sang semut....

...


Saturday, May 19, 2012

Umrah pertama... (Bahagian 1)

Antara catatan yang ku kira menyentuh.. ku 'repost' kembali sebagai pengubat rindu.


Hati berdebar-debar, jantung berdegup tidak teratur, fikiran kadang-kadang melayang, semangat adakalanya menghilang. Ada tikanya air mataku mengalir dengan sendirinya. Kenapa? Aku rindu! Rindu yang aku rasa tidak boleh ditampung lagi. Gila? Kan aku dah bersuami! Rindu aku pada Allah dan kekasihNya. Rindu aku pada bumi barakah itu.

“kalau rindu pada Rasulullah... selawat la banyak-banyak. Ikut segala sunnahnya.” Suamiku tenang menasihati disebalik skrin komputernya. Selimut ku tarik hingga ke kepala. Tanda protes? Iya lah, dia dah pergi dua kali. Lain perasaan orang yang tak pernah pergi dengan orang yang dah pernah pergi. Hatiku berkata-kata.

“Arghhhhhhhhhhh!” aku menjerit, namun suara itu tidak terlepas dimulut.

“Bukan kuasa abang pun dalam hal visa ni. Doa aje lah... kita tunggu sampai hari jumaat.” Seolah cuba memberi harapan. Aku tarik nafas panjang. Allahumasoli ala Muhammad....

Malam tu aku mimpi lagi. Sujud ku benar-benar di Masjidil Haram. Aku yakin memang itu masjidil Haram walaupun tak pernah menjejakkan kaki didalamnya.
Bila diuji, kita akan bersungguh-sungguh dalam berdoa. Macam pernah ku dengar kata-kata tu. Dan aku akui betul. Solat duha yang celup-celup ba. Aku dirikan setiap hari. Solat hajat aku lakukan sedaya mungkin. Doaku penuh mengharap. Ya Allah! Izinkan aku!
Isnin berlalu, Selasa terasa merangkak, Rabu menyapa.

“Kawan abang dah dapat visa. Sabtu fly.” Suamiku bagitahu setibanya dia dari tempat kerja petang Rabu tu. Terasa ingin menjerit. Kaki dan tangan ku lenguh!

“Kita?” soalku teragak-agak.

“Jangan mengharap sangat la.. 50-50. Diorang cuba sebaikmungkin untuk kita.” Aku sudah pun duduk mencari kekuatan mendengar kata-kata suamiku.
Khamis, Jumaat masih tiada apa-apa. Bagai menunggu buah yang NAK gugur. Bila gugurnya? Tak tau. Kalau tak ditunggu, nanti jatuh ke tanah benyek pulak. Mahu dijolok, entah apa belum masak. Ditunggu gugurnya, memang terasa lama. Sakit! Apa yang sakit? Aku pun tak tau nak kata.
Kalender menjadi popular pulak sebab aku tak jemu menatapnya. Sabtu, terbangnya Azman dan keluarganya ke Jeddah. Perjalanan mereka sudah bermula.
Bagi mereka yang pergi dengan Syarikat Besar, kemungkinan besar memang tak ada masalah untuk dapat visa. Maklumlah duit pun besar. Bagi kami yang budget ciput dan hanya mengunakan perkhidmatan agensi kecik? Ini lah masalahnya. Kerajaan Arab Saudi pulak keluar syarat baru. Nak apply visa kena bagi nama hotel. Hotel mestilah yang diiktiraf muasasah.
Sabtu, suamiku tak berkata apa-apa. Emm... Allah belum izin lagi. Aku perlu baiki bacaan Al-Quran agaknya. Perlu baiki hati yang suka berkata-kata, mungkin. Arghh!.. aku mesti bersangka baik dengan Allah!
Panggilan telefon hari Sabtu tu, menyuntik sedikit harapan. Tapi buah tak gugur lagi! Don’t give up hope! Isnin ada lagi. Abis! Beg macam mana? Nak kemas tak?

“Kemas saja la. Kita tawakal. Hari nie kedutaan tak bukak. Kita tunggu sampai hari Isnin. Pegi saja airport. Kalau sampai pukul 2 petang tak ada. Memang bukan rezeki kita la.” Tiket pukul 330 petang! Adusssssssssss.... senaknya perut. Terasa pedih ulu hati. Selera makanku dah seminggu hilang. Hanya tunggu lagi sehari hukuman mahu dijatuhkan. Mati kah aku?
Malam tu aku kemas beg selayaknya aku dapat pergi. Ku pujuk diri. InsyAllah macam kes ke Kuching hari tu. Last minute nama dipanggil. Akhirnya kami berjaya naik flight ke Kuching. Tetiba aku senyum. Tidur malam tu tak nyenyak. Allah! Izinkan kami menjadi tetamu Mu.
Pagi tu, seperti biasa solat di Namira. Terngiang-ngiang suara Ustaz Badrul Amin.

“Saya dah pernah pergi Masjid An Namira. Malam ni saya berceramah pula di Surau An Namira.” Aku pulak, hari-hari pergi Surau An Namira. InsyAllah! Aku akan dapat tengok Masjid An Namira.
Pukul 10 pagi Isnin, telefon berbunyi.

“Passport dah masuk kedutaan. Doa aje lah mood staff baik. Cepat la keluar Visa tu. Tapi jangan lah mengharap sangat.” Kata-kata yang kemudian tu sengaja ditekan agar aku tak merasa keciwa jika visa tak dapat. Jantung aku masih macam itu, rentaknya tetap tidak teratur selagi aku tak tau keputusan sebenar. Anak-anak telah terlebih dahulu diperingatkan supaya jangan terlalu mengharap. Tak mahu mereka menangis, andaikata kami gagal pergi. Aku? Aku rasa anak-anak lagi tabah dari aku.
Semenjak keluar dari rumah, anak-anak tidak habis bergurau. Aku? Mulut yang sentiasa kumat kamit seolah membaca mentera. Doaku tak putus. Segala apa yang ku ingat terus ku baca. Sehinggakan doa nabi Yunus ditelan ikan paus, menjadi mainan dibibir tanpa sedar.
Telefon berbunyi ketika kereta melepasi Dengkil. Akhirnya! Panggilan yang ditunggu-tunggu.

“Visa dah siap! Cepat pergi airport!” Satu lepasan nafas lega suamiku. Suasana dalam kereta tiba-tiba sunyi seketika.
Ya Allah! Ujian Mu yang pertama. Syukur Alhamdulillah.....



Bumi Barakah.
Aku menarik nafas dalam-dalam sebaik kaki mencecah tar yang hangat. Angin lembut menyapa pipi bagai menyambut ketibaan. Perasaan yang sukar diungkap. Bagi jemaah lain ku tengok sibuk berborak. Tapi aku lebih selesa diam sambil memantau anak-anak yang begitu teruja. Mereka tak tau ke, umi mereka ni kalau boleh nak sujud syukur kat tar lapangan terbang tu jugak.
‘Butterfly in my stomach!’ hahaha... tetiba ungkapan omputeh tu bermain di minda. Aku masih ok. Syukur ku tak putus. Mana surau ni? Aku dah tak sabar-sabar nak sujud syukur. Sebaik turun dari shuttle, aku pastikan anak2 mengikuti langkah suami. Dia lebih tau. Ramai yang menunggu untuk melepasi kastam. Sebaris panjang disebelah, jemaah dari Indonesia siap berihram. Malam ni mereka akan lihat Kaabah! Bestnya!
Agak lama berbaris, akhirnya kami melepasi kastam. Seusai mengambil beg, kami menuju keluar. Beberapa orang kawan suami yang bekerja di Jeddah begitu mesra menyambut kami. Wah! Cerianya mereka. Maklumlah selalu boleh buat umrah. Untungnya.
Perjalanan seterusnya ke Madinah mengambil masa antara 5-6jam. Wakil dari KHB travel agent dah menunggu. Aku perlu cari surau! Kat sini mana ada surau! Tiada istilah surau, yang ada hanya Mosque=masjid. Ramai jemaah yang berpusu-pusu untuk mengerjakan solat jamak dan qasar. Sana-sini riuh kelihatan ketua rombongan memberikan arahan kepada jemaah dibawah kelolaan mereka. Berkumpul sebelum melakukan sesuatu. Aku? Ermmm... hanya aku dan keluargaku, kami agak terasing. Mujur suami pernah menunaikan umrah. Setiap langkahnya ku ikut. Akhirnya aku dapat sujud, bersyukur dengan keizinan Nya untuk aku bertamu di sini.
Oh! Ada dua lagi keluarga sudah menunggu di dalam bas mini yang akan membawa kami ke Madinah. Nampaknya aku ada kawan.
“Woah! Bas kecik. Laju ni. Mau-mau kurang 6 jam dah sampai.” Dengar komen dari sahabat suami. Alhamdulillah! Kalau macam tu, lagi cepat lah aku sampai Madinah al Munawwarah. Sungguh Allah memang mahu aku menjadi tetamu di bumi bersemadinya kekasihNya.
Kotak makanan berisi ayam masak merah, telur dadar dan beberapa hirisan timun dihulur bersama air sebotol. Woah! Makanan lagi! Perut masih penuh dengan makanan dalam kapalterbang tadi. Mewah betul dengan makanan. Alhamdulillah.
Kiri kanan perjalanan amat gelap. Hanya bertemankan lagu-lagu alunan irama timur tengah dan deruan kasar engin bas. Entah bila aku terlelap dan tersedar apabila bas berhenti. Ha! Dah sampai! Aku memanjangkan leher menjenguk ke luar tingkap.
“R & R. Nak turun ke?” Suami memberitahu tanpa dipinta. Aku geleng. Husna yang lena tidur dipangkuan, kesejukan. Tingkap dibuka. Aku nak merasa angin padang pasir! Jam menunjukkan hampir pukul 2 pagi.
Macammana keadaannya Madinah al Munawarah?
Lampu-lampu neon mula menghiasi permandangan.
“Dah sampai ke?” Soalku ibarat anak kecil.
“Hampir masuk tanah haram Madinah.” Beritahu suami.
Lampu semakin cerah. Jalan raya terang. Tiba-tiba anak-anak ku menjerit.
“Masjid Nabiiiiiiiiiiiiiiii!”
“Cantiknya cantiknya!”
Bas berhenti agak jauh dari Masjid Nabawi. Dah boleh turun ke? Kenapa tak bukak pintu bas? Masing-masing agak teruja. Agak kecoh jadinya bila ayam dan itik berkomunikasi. Mujur ada jugak sepatah dua perkataan Arab yang diketahui. Rupa-rupanya sipemandu tak tau nama hotel yang sepatutnya kami hinap. Beberapa orang sudah kelihatan melintasi bas menuju kea rah masjid. Disebalik bangunan hotel yang tinggi kelihatan empat menara yang amat indah. Allahuma solliala Muhammad... SubhanAllah.
Azan pertama berkumandang sebaik sahaja bas berhenti di hotel Al Fayroz. Hanya 50 meter dari pekarangan Masjid Nabawi. MasyAllah! Begitu hampir. Kami bergegas memasuki hotel. Aku semakin teruja, lebih-lebih lagi melihat beberapa jemaah yang berlari-lari menuju ke masjid. Bilik kami di tingkat 9. Nombor 910. Masing-masing sibuk membersihkan diri seringkas mungkin. Azan kedua jelas kedengaran. Kami bergegas pula untuk turun. Lif tak kunjung tiba. Kami menapak menuruni anak tangga. Sembilan pun Sembilan lah... yang penting kami tak mahu terlepas subuh pertama ini. Ya Allah! Izinkan aku sujud bersama2 imam disubuh pertama ini.
Aku bersama tihani berlari-lari anak setelah berpisah dengan suami dan anak2 yang lain. Imam membaca surah yang agak panjang, memberi kesempatan untuk kami memasuki saf. Walaupun aku hanya bersolat dipekarangan masjid bertemankan belalang-belalang yang bertaburan, aku amat bersyukur. Beginilah agaknya perasaan Saidina Abu Bakar apabila dia sempat berimamkan Rasulullah.
“Sami Allahuliman hamidah!”
“Robana walakal ham!”
Suatu hari saidina abu bakar ra sedang berjalan menuju kemasjid untuk berjemaah bersama rasulullah. dihadapan beliau seorang warga tua sedang berjalan dengan amat perlahannya (maklum sudah tua). oleh kerana berpegang teguh dengan pesanan sahabat beliau, rasulullah saw, 'bukan dari umat ku jika orang muda tidak menghormati orang tua', beliau tidak memintas warga tua tersebut walaupun disebabkan itu dia agak kelewatan sampai kemasjid (jika dia pintas bermakna dia tidak menghormati orang tua tersebut).
sesampai dimasjid didapati jemaah sudah pun memulakan solat bersama rasulullah saw dan beliau berasa teramat amat bersyukur pada Allah swt dan memuji muji kebesaranNya kerana beliau sempat juga rukuk bersama rasulullah saw.
Dari situlah Allah swt telah menurunkan wahyu kepada rasulullah saw supaya menukarkan bacaan kepada 'sami'Allahu liman hamidah' kerana Allah mendengar bisikan hati saidina abu bakar yang memuji muji KebesaranNya.
Aku rasakan sepanjang hidupku. Inilah sujud yang paling damai. Di lantai putih ini air mata ku menitis. Allah! Kau izinkan jua aku bersujud dirumah Mu ini. Didalam sana, bersemadi dengan damai kekasih Mu yang terlalu ku rindui. Tunggulah. Akan ku ziarahmu wahai kekasih Allah. Ya Allah bagilah aku kelapangan. Berilah aku kesempatan berkunjung menziarahi Rasul Mu...

InsyAllah akan disambung...............

No comments:

Post a Comment